Sunday, 18 November 2018

ANAK LAMBAT BERCAKAP: BILA PERLU RISAU?


ANAK LAMBAT BERCAKAP:
BILA PERLU RISAU?
==========
Anak-anak membesar dan berkembang pada kadar yang berbeza.
Ada yang mula mengeluarkan perkataan pertama sebelum usia 12 bulan, ada pula yang sebaliknya.
Sepanjang tempoh ini, akan timbul banyak persoalan.
Adakah anak saya masih normal? Adakah anak saya dikira lewat bercakap? Adakah anak saya memerlukan bantuan?
.
.
Perhatikan tanda-tanda awal kelewatan bahasa seperti yang disenaraikan, yang mungkin ada pada anak kita.
Jika tanda-tanda ini jelas ada pada anak, tarik nafas dalam-dalam dan bertenang dahulu.
Langkah yang disarankan, cuba dapatkan sekurang-kurangnya sesi 'screening' atau penilaian penuh Speech-Language Therapist (SLT) bagi mengenalpasti masalah komunikasi yang dihadapi oleh anak kita.
SLT akan berpasukan dengan ibu bapa bagi membantu anak sepanjang proses intervensi yang dirancang.
.
"Ada tak yang boleh saya lakukan pada waktu ini?"
Sudah tentu.
Ini antara langkah bijak yang ibu bapa boleh lakukan di rumah bagi membantu anak berkomunikasi:
1. Bermain dengan anak.
Bina hubungan. Cipta suasana yang seronok. Lupakan tentang tekanan untuk bercakap.
Fokus kepada keperluan untuk berkomunikasi. Mengapa kita perlu berkomunikasi?
Jika tiada keinginan atau keseronokan untuk berkomunikasi, takkan timbul motivasi untuk bercakap. Mulakan dengan bermain bersama.
2. Cipta peluang untuk berkomunikasi.
Elakkan meneka dan beri terus apa yang anak mahukan. Beri mereka peluang untuk belajar berkomunikasi.
Jika sudah pandai tunjuk untuk dapatkan sesuatu, perlu belajar sebut pula.
Sentiasa tingkatkan kemahiran komunikasi anak.
Ini mungkin akan jadi waktu yang 'struggle' untuk anak dan kita sebagai parents, namun di sinilah bermulanya sesi pembelajaran.
1. Ringkaskan bahasa yang digunakan.
Gunakan ayat yang pendek apabila bercakap atau memberi arahan sesuai dengan tahap komunikasi anak. Ini membantu anak untuk fokus kepada perkataan yang sepatutnya.
2. Labelkan setiap benda, perbuatan atau orang yang terlibat.
Labelkan dengan cara MENYEBUT perkataan yang sepatutnya. Contohnya, jika sedang bermain di padang, "banyaknya RUMPUT! RUMPUT lembut. Jom duduk atas RUMPUT! Pegang RUMPUT..."
3. Tunjukkan pada anak bahawa kita sedar akan kehadirannya.
Perhatikan setiap tindakan anak kita, jika masih belum bercakap pun, pasti ada cara yang digunakannya untuk berkomunikasi dengan kita (gerak isyarat, mata, intonasi suara).
Anak-anak faham lebih banyak perkara berbanding dengan apa yang mereka boleh tuturkan.
Walaupun masih belum bercakap, mereka juga mahu 'didengari'. Inilah saatnya untuk membina hubungan.
Bukankah kita akan bermotivasi melakukan perkara yang sukar jika ada orang yang kita boleh percayai?
4. Bercakap dengan anak menggunakan bahasa yang paling selesa kita gunakan.
Gunakan bahasa yang kita paling mahir gunakan. Perlu diingat, kita perlu modelkan penggunaan bahasa. Ini membantu anak mengembangkan kosa kata dan ayat.
Namun, memperkenalkan lebih daripada 1 bahasa juga adalah langkah yang bagus. Pastikan kita modelkan bahasa dengan baik.
5. Bercakap tentang apa yang kita lakukan dan apa yang anak sedang lakukan. Cakap, cakap dan bercakap!
Lebih banyak yang didengar, lebih banyak akan disimpan dan digunapakai kelak.
6. Semasa berinteraksi, kurangkan gangguan bunyi daripada persekitaran.
Perhatikan TV atau persekitaran yang bising. Ini boleh mengganggu tumpuan anak terhadap komunikasi.
7. Jadikan buku sebagai aktiviti rutin.
Tambah kosa kata dan kemahiran berfikir anak dengan buku.
Gunakan intonasi dan gaya bercerita sebagai daya penarik untuk anak sukakan buku.
Bermula dengan lakukan apa juga cara untuk mereka lihat buku itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
.
.
Proses membantu anak meningkatkan kemahiran berkomunikasi mungkin akan memakan masa dan tenaga. Akan ada turun naik semangat dan emosi. Namun percayalah, di akhir jalan akan sentiasa ada cahaya.
Yang penting, usaha dan doa!
Siti Sarah Said,
Speech-Language Therapist,
Meru Raya.

















No comments:

Post a Comment