BAYI PUN KENA BERUS GIGI?
#1) Perlukah ibubapa membersihkan
gusi bayi sebelum gigi tumbuh?
Ya perlu. Sebelum gigi pertama
bayi tumbuh, adalah menjadi satu kelaziman yang
sangat baik untuk menyapu gusi bayi dengan kain kasa atau tuala yang lembut
setiap kali selepas makan atau ketika mandi. Pada peringkat ini, masih belum
ada keperluan untuk menggunakan ubat gigi. Tuala atau kain kasa yang dililit di
sekeliling jari boleh digunakan dengan menyapu secara perlahan-lahan
disekeliling gusi untuk menghilangkan bakteria yang berbahaya dalam mulut bayi
anda.
#2) Bilakah jangkaan gigi pertama
bayi akan tumbuh?
Secara amnya, gigi pertama bayi
akan tumbuh di bahagian depan rahang bawah ketika bayi berumur enam bulan.
Namun, masa pertumbuhan gigi pertama bayi tidak sama antara satu dengan yang
lain. Sesetengah bayi masih tiada gigi yang tumbuh walaupun usia telah mencecah
setahun.
#3) Bilakah ibubapa seharusnya
memberus gigi bayi mereka?
Memberus gigi bayi bolehlah
dimulakan seawal gigi pertama kelihatan tumbuh di dalam mulut. Ini akan
menanamkan tabiat penjagaan kesihatan pergigian yang baik kepada anak anda.
#4) Berapa kerapkah ibubapa
seharusnya memberus gigi bayi mereka?
Dua kali sehari terutamanya pada
waktu pagi dan malam sebelum tidur.
#5) Adakah ibubapa perlu
membelikan berus gigi untuk bayi mereka?
Bergantung kepada keadaan. Anda
mungkin berasa lebih mudah untuk membersihkan gigi bayi anda dengan menggunakan
kain kasa yang bersih atau tuala basah. Lilitkan di sekeliling jari, letakkan
lapisan nipis ubat gigi atau sebesar saiz beras ke atasnya, dan gosok
perlahan-lahan pada gigi dan gusi.
Sekiranya menggunakan berus gigi
bayi, pilihlah yang mempunyai kepala berus yang kecil, berus nilon yang lembut
dan senang/selesa dipegang. Gunakan sedikit lapisan ubat gigi dan gosok secara
perlahan-lahan dibahagian dalam dan luar setiap gigi untuk membuang plak dan
kotoran.
Berus gigi yang direka khas
seperti ‘berus gigi jari’ juga boleh membantu dalam memberus gigi bayi anda.
#6) Berapa kerapkah seharusnya
berus gigi bayi anda ditukar?
Ia seharusnya ditukar secara
berkala, kira-kira sebulan hingga tiga bulan. Sekiranya berus mulai mengembang,
ia adalah petanda berus gigi perlu ditukar.
#7) Apakah ubat gigi yang sesuai
untuk bayi?
Adalah dinasihatkan supaya
mencari ubat gigi yang dibuat khas untuk bayi. Periksa bungkusan ubat gigi
untuk memastikan tahap kandungan florida adalah sesuai. Gunakan ubat gigi yang
mempunyai kandungan florida yang rendah (kira-kira 1,000 ppm) untuk bayi
berumur satu hingga tiga tahun.
Pilih ubat gigi yang TIDAK
berperisa, seperti perisa buah-buahan, supaya bayi memahami bahawa ubat gigi
bukanlah makanan. Menelan ubat gigi berflorida dalam jumlah yang terlalu banyak
boleh merosakkan gigi dengan memberikan kesan rapuh, dan boleh menyebabkan bayi
sakit atau cirit-birit.
#8) Berapa banyakkah ubat gigi
seharusnya digunakan?
Bagi bayi berumur di bawah
setahun, tiada keperluan menggunakan sebarang ubat gigi.
Bagi kanak-kanak berumur satu
hingga tiga tahun, hanya dengan sedikit atau lapisan nipis ubat gigi melitupi
tiga suku berus gigi sudah mencukupi.
Bagi kanak-kanak berumur tiga
tahun dan ke atas, beruslah gigi anak anda dengan ubat gigi bersaiz kacang pis.
Ibubapa dinasihatkan untuk
mendidik anak supaya meludah selepas memberus gigi dan tidak makan atau
menjilat ubat gigi dari tiub.
#9) Bagaimanakah cara memberus
gigi anak anda?
Ianya mudah dan tidak banyak
perkara yang diperlukan. Gunakan berus gigi bayi atau ‘berus gigi jari’,
sedikit ubat gigi dan air bersih.
#10) Bagaimana memantau pemakanan
bayi anda?
Penyusuan botol pada kadar yang
berpanjangan akan membawa kepada kerosakan gigi/karies di awal usia
kanak-kanak.Satu cara yang berkesan untuk menghentikan penyususan botol yang
berpanjangan adalah dengan menggunakan cawan. Minum dengan menggunakan cawan
tidak akan menyebabkan air minuman terkumpul di sekitar gigi. Oleh itu, gunalah
cawan jika minum minuman yang manis seperti jus buah-buahan.
Pengambilan makanan bergula atau
melekit secara kerap, lama-kelamaan akan menyebabkan bakteria terkumpul
manghasilkan asid yang akhirnya mengakibatkan kerosakan gigi. Adalah
dinasihatkan supaya TIDAK menambah gula ke dalam makanan bayi seperti susu,
minuman dan bijirin. Selain itu, berwaspadalah dengan gula tersembunyi di dalam
makanan.
Galakkan tabiat pemakanan yang
baik dengan menyediakan menu sihat dan seimbang. Hadkan makanan dan minuman
yang mengandungi gula pada waktu makan sahaja. Tawarkan makanan ringan seperti
buah-buahan dan sayur-sayuran di antara waktu makan.
#11) Bagaimanakah mengenal pasti
tanda-tanda awal kerosakan gigi bayi anda?
Ibubapa seharusnya mengetahui
ciri-ciri gusi dan gigi bayi yang normal supaya dapat mengenalpasti masalah
jika ia berlaku. Contohnya tompok berwarna putih atau coklat pada gigi hadapan
adalah tanda-tanda awal kerosakan gigi.
Periksa mulut anak anda
sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan dengan menggunakan teknik “Angkat
Bibir” untuk melihat tanda-tanda awal kerosakan gigi (tompok putih atau coklat)
di bahagian luar atau dalam permukaan gigi.
#12) Bilakah ibubapa perlu mula
membawa bayi mereka berjumpa doktor gigi?
Bawa anak anda berjumpa doktor
gigi seawal umur setahun. Pemeriksaan gigi kali pertama sebelum usia 12 bulan
akan membantu untuk mengenalpasti sebarang risiko awal terhadap kesihatan mulut
anak anda.
Sumber myportal health
No comments:
Post a Comment